SUNGAI PETANI: Hidangan ayam masak merah yang
dihidangkan dalam kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat
sini Sabtu lepas dicemari bakteria
Salmonella, menyebabkan empat
kematian dan ratusan lagi keracunan makanan setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata bakteria
itu ditemui di dalam spesimen hasil bedah siasat ke atas mangsa dan
sampel yang diperoleh dari tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati ayam yang diguna untuk majlis perkahwinan itu
tidak disimpan dengan baik dan dibiar pada suhu bilik selama semalaman,
sebelum dimasak pada hari kenduri, katanya dalam sidang media di
Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini petang Selasa.
Katanya berdasarkan keterangan tuan rumah, kira-kira 130 ekor ayam
dibeli pada Jumaat dan digoreng sebelum disimpan di dalam sebuah bilik
pada suhu biasa.
"Ini menyebabkan ayam tersebut dicemari dan dijangkiti bakteria
Salmonella. Ayam itu berbau bila hendak dimasak keesokan harinya, tetapi
tuan rumah mahu memasak kerana bimbang makanan untuk tetamu tidak
mencukupi," katanya.
Beliau berkata mangsa yang makan makanan tercemar itu tidak mengalami
simptom keracunan pada kadar segera sebaliknya bakteria
Salmonella
hanya meragam selepas lebih 12 jam sebelum menjadi keracunan,
menyebabkan mangsa mengalami cirit-birit, loya, muntah, perut memulas
dan kehilangan air dalam badan secara teruk.
Katanya setakat ini 200 mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital
berdekatan sekitar daerah ini dan daripada jumlah itu 127 pesakit
mendapatkan rawatan di HSAH dengan 38 dimasukkan ke wad untuk rawatan
lanjut.
Beliau berkata 127 lagi pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Yan
dengan 62 orang ditahan untuk rawatan lanjut dan selebihnya dibenar
pulang selepas mendapat rawatan.
Dr Ismail berkata seorang pesakit lelaki berusia 58 tahun kini berada
dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.
"18 kes pesakit dirujuk ke Hospital Sik dan Baling ekoran keadaan
Hospital Yan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai. Saya
nasihatkan mangsa yang mempunyai simptom keracunan makanan selepas makan
kenduri di rumah tersebut agar tampil mendapatkan rawatan segera.
"Saya berharap pengendali makanan untuk kenduri menyimpan makanan
atau bahan mentah secara betul dan menitik berat aspek keselamatan
makanan agar perkara sama tidak berulang," katanya.
Pada Isnin, tiga mangsa keracunan makanan meninggal dunia selepas
menghadiri satu majlis kenduri kahwin itu manakala hari ini seorang lagi
meninggal dunia.
Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak,
Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, yang
meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam dan Mohammad
Nor Rahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia
kira-kira 1 petang.
Seorang lagi mangsa Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi,
Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di HSAH kira-kira pukul 6.30
petang semalam.
Hari ini, Wan Razali Yaakob, 56, dari Kampung Banggol Belau, Merbok
disahkan meninggal dunia pukul 7.15 malam selepas dimasukkan ke ICU HSAH
pagi semalam. -
BERNAMA
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Satu Malaysia kecoh pasal kes keracunan makanan yang berlaku selepas makan kenduri di Yan, Kedah. Ramai juga yang membuat andaian, yang menuduh, yang menyalahkan, dan juga yang bercerita sana sini tentang punca, bagaimana keracunan makanan ini terjadi. Selepas siasatan dibuat, bakteria yang menyebabkan keracunan makanan ini terjadi adalah
Salmonella. Kebetulan juga, kes ini terjadi betul2 ngam dengan silibus mengajar saya semester ni. Minggu yang sama pelajar saya perlu buat presentation mengenai Food Poisoning yang disebabkan oleh beberapa jenis bakteria berbahaya termasuklah
Salmonella ini. So hari ni, saya nak share sikit apa itu
Salmonella, penyakit keracunan makanan yang disebabkan oleh
Salmonella, simptom2 keracunan, sumber makanan atau makanan pembawa yang membawa
Salmonella ni dan juga langkah-langkah pencegahannya.
Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan pada manusia.
Salmonella banyak dijumpai pada haiwan berdarah panas dan juga di persekitaran. Nama penyakit yang disebabkan oleh
Salmonella adalah
SALMONELLOSIS. Biasanya orang dewasa akan mendapat penyakit ini apabila memakan makanan yang mengandungi kandungan
Salmonella yang tinggi. Antara makanan pembawa yang membawa
Salmonella adalah ayam, itik, telur dan produk tenusu. Simptom2 penyakit ini hanya akan timbul selepas 12-72 jam dari tempoh kita makan makanan tersebut. Antara simptom2 nya adalah:-
a) Cirit birit (boleh menyebabkan dehydration atau kurang air dalam badan)
b) Muntah
c) Demam
d) kekejangan Perut
Kebiasaannya pesakit tidak memerlukan antibiotik jika sistem imun badan adalah tinggi. Sangat berisiko bagi kanak-kanak, orang tua, bayi yang mempunyai sistem imunisasi yang rendah. Walaubagaimanapun risiko kematian adalah tinggi jika berlarutan dan tidak dirawat.
1. Sentiasa memastikan makanan mentah dibersihkan dan disimpan dengan
baik pada suhu yang sesuai (biasanya suhu sejuk) sebelum dimasak.
2. Asingkan peralatan yang digunakan untuk bahan mentah dan bahan lain untuk mengelakkan pencemaran silang.
3. Pastikan makanan dimasak dengan sempurna iaitu suhu mencecah 75 darjah celsius selama sekurang-kurangnya 10 min untuk memastikan Salmonella ini mati.
4. Pastikan makanan yang telah dimasak, disimpan pada suhu dan keadaan penyimpanan yang sesuai. Simpan pada suhu sejuk adalah lebih baik dan dalam bekas tertutup.
5. Jika makanan perlu disediakan awal sebelum majlis, pastikan makanan sentiasa dipanaskan dengan sempurna dan kekal panas sehingga masa makan.
So, dengan terjadinya kes seperti ni..bukanlah untuk menuding jari atau menyalahkan sesiapa. Tapi sebagai peringatan dan panduan pada semua untuk lebih berhati-hati dan menitikberatkan kebersihan dan keselamatan sewaktu menyediakan makanan. Terutama sekali yang melibatkan penyediaan makanan dalam jumlah yang besar. Kerana dengan sikit kesilapan dan kelalaian boleh membahayakan nyawa manusia. Jadikan amalan kebersihan sebagai cara hidup kita.